KONFLIK rumah tangga penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain dengan suaminya iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri semakin memuncak apabila masih belum mencapai kata putus.
Bagaimanapun, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain memberitahu beliau akan terus bersabar berhadapan dengan kemelut peribadi yang menghancurkan rumah tangganya itu.
Memetik beberapa sumber portal hiburan, Ziana berkata beliau akan mengikut prosedur ditetapkan mahkamah dan yakin bahawa segalanya akan berakhir dengan baik.
“Kalau 20 tahun saya boleh bersabar, jadi sikit lagi saya kena sabar,” katanya dipetik BH Online.
Pada sebutan itu, suaminya Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, tidak hadir tanpa sebarang pemberitahuan.
Justeru, Mahkamah menetapkan Ziana dan Armin melakukan proses seterusnya menerusi Jawatankuasa Hakam pada 12 Julai depan.

Bercerita lanjut, bintang filem Maria Mariana itu dilihat positif dengan perkembangan kes perceraiannya dan pada masa sama, berharap Armin bertanggungjawab menyempurnakan prosiding ini demi meneruskan kehidupan.
“Kalau kita ada tanggungjawab untuk satu sama lain, kita sepatutnya hadirlah (pada sidang mahkamah hari ini),” kata Ziana ketika diminta komen mengenai ketidakhadiran Armin pada sebutan itu.
Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai perkembangan terbaru, Ziana memberitahu anak-anaknya berada dalam keadaan baik dan mereka sekeluarga menyambut Syawal dengan meriah.
“Raya tetap raya. Anak-anak semua gembira dan berada dalam keadaan baik. Terima kasih untuk semua peminat yang sentiasa mendoakan saya. Hanya Allah mampu balas kebaikan mereka,” kongsi Ziana.
Baca: Keputusan Cerai Ziana Zain, Armin 28 Jun Depan
Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.
Difahamkan, perkahwinan pasangan ini mencatat sejarah tersendiri kerana ia diadakan secara terbuka dengan kehadiran ribuan peminat yang ingin menyaksikan detik istimewa itu. – MYNEWSHUB.CC