MOSCOW – Keputusan untuk membenarkan pemain tengah Maghribi, Nordin Amrabat beraksi hanya selepas lima hari mengalami gegaran otak dikritik persatuan pemain, FifPro.
Pemain sayap Watford itu digantikan pada aksi pertama bertemu Iran, selepas kepalanya terhantuk dengan Vahid Amiri, namun diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Portugal dengan memakai helmet keselamatan sebelum ia ditanggalkan pada minit ke-16.
Rawatan yang diterima Amrabat selepas tumbang pada aksi itu turut dikritik apabila doktor sekadar mencurahkan air di kepalanya sebelum menampar mukanya beberapa kali.
“Ini adalah satu lagi contoh di mana pemain diletakkan dalam situasi yang berbahaya,” kata FifPro dalam kenyataan.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan protokol baharu selepas Piala Dunia 2014 yang membenarkan pemain mendapat pemeriksaan selama tiga minit di atas padang selepas mengalami kecederaan kepala.

Perubahan itu dilakukan selepas beberapa insiden di kejohanan empat tahun lalu di Brazil, termasuklah apabila pemain tengah Jerman, Christoph Kramer perlu digantikan pada aksi final.
FifPro menegaskan garis panduan itu tidak diikuti susulan insiden Amrabat yang beraksi dengan cemerlang pada pertembungan menentang Portugal meskipun tewas 1-0 sekali gus pulang awal.
“Berdasarkan garis panduan kesihatan, Amrabat beraksi terlalu awal daripada yang sepatutnya.
“Empat tahun selepas aksi Piala Dunia 2010 di mana beberapa pemain tidak mendapat perhatian sewajarnya, pengurusan gegaran otak dalam bola sepak masih lagi belum berkembang sepenuhnya.
“Seruan supaya piawaian yang berkelas dunia supaya dapat diimplementasikan juga gagal diambil kira.” – AFP

