KEMENANGAN England 6-1 ke atas Panama di Piala Dunia 2018 menjadikannya kemenangan kedua daripada dua, dengan lapan jaringan gol dan lima daripadanya disumbangkan oleh Harry Kane.
Tetapi bagaimana prestasi pemain yang dipimpin Gareth Southgate pada 2018 berbanding generasi sebelumnya?
Adakah ini permulaan terbaik England untuk Piala Dunia? Jawapannya adalah ya.
Dua kemenangan dari dua perlawanan bermakna anak buah Southgate telah menyamai skuad pemain Ron Greenwood pada Piala Dunia 1982 di Sepanyol dan zaman emas Sven-Goran Eriksson di Jerman pada 2006.
Pasukan Greenwood menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan pertama mereka – gol pembukaan oleh Bryan Robson pada saat ke-27 membantu mereka menewaskan Perancis 3-1, sebelum menang 2-0 ke atas Czechoslovakia.
Pada 2006, England bermula dengan kemenangan yang tidak menentu 1-0 ke atas Paraguay.
David Beckham menghasilkan hantaran bola yamg cantik kepada Carlos Gamarra sekali gus menyebabkan Gamarra tersilap langkah menanduk bola ke gawangnya sendiri.
Lima hari kemudian, Beckham sekali lagi menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Trinidad & Tobago, dengan Steven Gerrard menamatkan permainan dan kemenangan 2-0.
Dua belas tahun kemudian, mereka menjadi pasukan kelima yang menjaringkan lima gol sebelum separuh masa dalam perlawanan Piala Dunia, dan yang pertama sejak Jerman membelasah tuan rumah Brazil 7-1 pada separuh akhir pada 2014. – BBC/mStar Online