TERDAHULU Elly Mazlein menjadi bualan gara-gara menyindir bekas suaminya, Azmi Hatta berhubung perihal nafkah untuk anak hasil perkongsian hidup mereka sebelum ini iaitu Putri Sara Sefhia.
Kali ini, penyanyi itu sekali lagi menjadi menjadi bahan ‘membawang’ netizen apabila meluahkan rasa kecewa terhadap Azmi kerana didakwa tidak memberikan perbelanjaan persiapan raya Sefhia.
Perkara berkenaan telah dikongsi sendiri oleh Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi menerusi salah sebuah entri di Instagram miliknya pada Isnin.
Tidak terhenti di situ sahaja, malah lebih mengejutkan figura yang terkenal dengan jolokan ‘Kak Lina Pom Pom Meletop’ juga turut mentioned nama bekas suaminya itu pada entri tersebut.
“@azmi _hata, dekat nak raya ni.. Duit persiapan raya anakmu mana? Duit nafkah pun tak bagi, takkan persiapan raya pun tak nak bagi..,” tulisnya.
Tambah Elly lagi, suami kepada pelakon drama Istikharah Cinta, Faye Kusairi itu kini mempunyai syarikat produksi sendiri namun kononnya masih mengabaikan tanggungjawab kepada anak mereka.
Pada masa sama, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Usah Ditambah Bara Tersimpan itu juga mengingatkan Azmi supaya jangan bersikap kedekut dengan darah daging sendiri.
“@azmi_hata dah buka production house, mewah sekarang. Tapi tanggungjawab pada anak pulak diabaikan. Sempit rezeki kalau berkira dengan darah daging sendiri,” ujar Elly.
Sebelum ini, Elly pernah mendirikan rumah tangga bersama Azmi pada 9 November 2014 namun pasangan ini bercerai pada 15 Oktober 2015 ketika penyanyi wanita itu sedang sarat mengandung empat bulan.
Kemudian, Azmi berkahwin pula dengan Faye pada 9 April 2017. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Alif Azmi. – MYNEWSHUB.CC