GEORGE TOWN – Bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru larangan terhadap plastik sekali guna.
Sesuai dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini iaitu “Hapuskan Pencemaran Plastik”, Presiden CAP, SM Mohamed Idris meminta tindakan bersama dan konkrit dalam memerangi salah satu cabaran alam sekitar yang terbesar ini.
Beliau menekankan bahawa pengguna Malaysia mempunyai tabiat suka meminta beg plastik sekali guna atau pakai buang ketika membeli barangan dari pasar dan gerai penjaja, serta menggunakan peralatan plastik sekali pakai seperti cawan, penyedut air, sudu dan garfu dan serta botol air dalam kebanyakan acara seperti perhimpunan, perayaan, pesta dan sebagainya.
“Penggunaan plastik sekali guna telah menyebabkan banyak masalah ekologi dan alam sekitar. Menghapuskan plastik sekali guna adalah langkah yang perlu untuk mengurangkan jumlah sisa dan pencemaran dalam jangka panjang,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Mohamed Idris juga berkata beliau akan menulis surat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya menyertakan beg plastik sekali guna dan plastik mikro dalam larangan pengunaan plastik di seluruh negara.
Pada 28 Mei lepas Zuraida mengumumkan akan melaksanakan larangan penggunaan beg plastik di seluruh negara dalam tempuh setahun. – BERNAMA

