SEORANG wanita dan bapanya telah ditembak mati di depan bayi mereka yang berusia enam minggu oleh suaminya sebelum lelaki itu menembak diri sendiri, ketika mereka berada di bilik menunggu di sebuah hospital di Thailand.
Dalam kejadian itu, Thanyamas Thanamsri, 26, sedang menunggu doktor bersama suaminya, Chaiyaporn, 31, dan bapanya, Samphan Thanamsri, 60, untuk pemeriksaan selepas bersalin.
Dua minggu sebelum itu, Thanyamas telah menjalani pembedahan buah pinggang, jantung dan paru-paru.
Beberapa hari sebelum kejadian, Thanyamas telah memuatnaik gambar dia bersama bayinya dalam Facebook dengan kapsyen:

“Kematian lebih hampir dari yang kita jangkakan jadi jagalah orang yang kita sayangi.”
Menurut media, semasa sedang menunggu doktor, bapa dan suaminya telah bergaduh. Ini kerana bapanya memarahi lelaki itu disebabkan dia tidak bekerja dan memberitahu bahawa Thanyamas akan menceraikan suaminya.
Chaiyaporn yang berang, kemudiannya mengeluarkan senjata dari dalam beg lalu melepaskan dua tembakan di kepala bapa mertuanya sebelum menembak isterinya di dada.
Dia kemudiannya menembak diri sendiri. Dua pesakit lain mengalami kecederaan akibat tembakan rambang yang dilepaskan Chaiyaporn dan berpuluh pesakit lain berlari ketakutan dari bangunan Hospital Nakhon Pathom di utara Thailand.
Anak mereka terselamat namun kini menjadi yatim piatu. – MYNEWSHUB.CC

