KUALA LUMPUR – Pihak bank memiliki fleksibiliti untuk menentukan sumber pendapatan dan hutang wajar ke atas tahap pendapatan atau nisbah khidmat hutang (DSR) yang boleh ditampung oleh peminjam.
Malah, jelas Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi satu kenyataan yang dipaparkan di laman sesawang Housing Watch hari ini, DSR yang dilaksanakan oleh institusi kewangan juga mengambil kira keadaan kewangan peminjam berdasarkan beberapa faktor.
“Ini termasuk pendapatan peminjam, kemampuan menunaikan obligasi pembayaran semula hutang sedia ada serta penampan lain yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan asas atau sebarang kejadian di luar jangka,” kata bank pusat itu.
Menurut BNM, ia bagaimanapun tidak menetapkan paras DSR untuk penjawat awam.
Kenyataan bank pusat itu sebagai menjawab laporan media bertajuk ‘Lending rules for housing may be relaxed but analysts are wary’ yang disiarkan pada 16 Jun, 2018.
Setakat Mac 2018, sebanyak 72 peratus (atau menyamai kira-kira tiga daripada setiap empat) permohonan pinjaman perumahan telah diluluskan oleh pihak bank, kata bank pusat itu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 71 peratus membabitkan pembelian rumah mampu milik berharga kurang RM500,000.
BNM berkata pihak bank juga mengambil kira kepelbagaian sumber pendapatan peminjam dalam membuat penilaian kelayakan dan kemampuan pinjaman, dengan syarat ia disokong oleh bukti dokumen seperti penyata bank, penyata komisyen atau perjanjian sewa.
“Pihak bank juga lazimnya membenarkan pasangan atau ahli keluarga menjadi peminjam bersama pinjaman perumahan itu bagi meningkatkan lagi tahap kemampuan pemohon.
“Bank-bank utama yang mempraktikkan amalan itu adalah seperti Maybank, CIMB, Public Bank, RHB, AmBank, Hong Leong Bank, Affin Bank dan Bank Islam,” katanya. – BERNAMA