SELAMAT datang ke Monowi sebuah bandar kecil di Nebraska, Amerika Syarikat (AS) yang diiktiraf hanya mempunyai seorang penduduk tetap, menurut data bancian rasmi kerajaan pada tahun 2010.
Sebagai satu-satunya penduduk yang tinggal di bandar berkeluasan kurang satu kilometer persegi, Elsie Eiler, beliau juga adalah datuk bandar merangkap kerani, bendahari, pustakawan, pelayan restoran dan banyak lagi peranan.
Setiap tahun wanita itu perlu gantung papan tanda pilihan raya datuk bandar dan kemudian mengundi dirinya sendiri. Undang-undang persekutuan juga memerlukan beliau menghasilkan pelan jalan perbandaran setiap tahun.
Ini bagi mendapatkan pembiayaan negeri itu dan bayar AS$500 bagi cukai air dan elektrik. Beliau juga perlu buat kertas kerja agar status Monowi masih diperbadankan dan terhindar daripada menjadi sebuah bandar berhantu.
“Saya gembira meskipun menetap seorang diri di sini. Saya dibesarkan di sini malah saya sudah terbiasa dengan keadaan sunyi sebegini dan saya tahu dengan apa yang saya mahukan,” tambah Eiler yang kini berusia 84 tahun.
Pada dekad 1930-an, Monowi merupakan tempat perhentian bagi Elkhorn Railroad dengan mempunyai penduduk 150 orang selain meriah memiliki tiga buah kedai runcit, beberapa restoran dan juga sebuah penjara kecil.
Eiler dibesarkan di sebuah ladang di pinggir bandar tersebut dan bertemu dengan suaminya, Rudy, semasa di sebuah sekolah rendah. Setelah menamatkan pengajian dari sekolah menengah, Rudy memasuki Tentera Udara AS.
Sementara suaminya berkhidmat sebagai juruterbang dalam Perang Korea pada 1950-an, Eiler telah berpindah ke Bandar Raya Kansas untuk meneruskan cita-citanya bekerja dalam sebuah syarikat penerbangan tempatan.
“Saya menjadi seorang pragmugari, sebuah cita-cita yang telah lama saya idamkan. Saya tidak begitu kisah terhadap bandar raya ini; Monowi sentiasa menjadi tempat tinggal untuk saya,” katanya kepada stesen penyiaran BBC.
Eiler berkahwin dengan Rudy pada usia 19 tahun dan mereka berjaya membesarkan dua orang anak di Monowi. Pada tahun 1971, pasangan itu memutuskan untuk membuka semula restoran lama yang dimiliki oleh bapa Eiler.
Semasa restoran lama Monowi dibuka, penduduk di bandar kecil itu mula menurun. Selepas Perang Dunia Kedua, ekonomi luar bandar mulai jatuh dan seluruh komuniti masyarakat mula hilang dari kawasan bandar AS itu.
Pada tahun 1960, gereja yang ada di bandar itu telah melakukan pengebumian terakhirnya, untuk mendiang ayah Eiler dan kemudian antara tahun 1967 dan 1970, pejabat pos dan satu-satunya kedai runcit di sana telah ditutup.
Manakala sekolahnya pula ditutup pada 1974. Pada pertengahan dekad 1970-an, dua anak Eiler pula telah berpindah untuk mencari pekerjaan dan pada tahun 1980, penduduk bandar itu telah menjunam turun kepada 18 orang.
Namun 20 tahun kemudian, tinggal Rudy dan Eiler terkandung dalam populasi rasmi Monowi sehinggalah pasangannya itu meninggal dunia pada tahun 2004. Waima hidup bersendirian, Eiler mendakwa dia tidak kesepian.
Enam hari seminggu, dia gigih membuka restorannya dari pukul 9 pagi dan tekun menghabiskan masanya di sana selama 12 jam setiap hari, menyediakan makanan dan minuman kepada pelanggan setia yang mengenalinya.
“Ia seperti keluarga besar. Ada pelanggan generasi keempat dan kelima berkunjung ke sini. Ia sungguh menyentuh perasaan apabila orang yang anda kenal sejak masih bayi lagi, kini telah bawa anak kecil mereka untuk saya lihat.”
Di samping restoran lama itu, terdapatnya juga sebuah bangunan awam di Monowi iaitu Perpustakaan Rudy. Sebagai seorang yang suka baca buku, Rudy berharap agar koleksi peribadinya itu menjadi perpustakaan awam.
Perpustakaan kecil itu mengandungi lebih 5,000 judul buku. Eiler, secara tidak langsung, menjadi pustakawan. Satu kunci kelihatan tergantung di restoran lama itu bagi memudahkan orang ramai untuk membaca di dalamnya.
Apabila Rudy meninggal dunia, Monowi telah mengikuti jejak langkah Gross dan Nebraska untuk menjadi satu-satunya bandar yang diperbadankan di AS dengan hanya mempunyai seorang penduduk secara rasmi.
Dalam tempoh 14 tahun sejak itu, para pengunjung dari seluruh dunia dilaporkan datang berkunjung ke bandar tersbeut dan mengisi empat buku tamu beserta tanda tangan mereka. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA