VOLGOGRAD – Jurulatih Arab Saudi, Juan Antonio Pizzi menegaskan beliau tidak mempunyai perancangan istimewa bagi mengekang gerakan bintang Mesir, Mohamed Salah pada aksi penutup Kumpulan A, malam ini.
Dua pasukan itu sudahpun tersingkir sebelum pertembungan di Arena Volgograd namun anak buah Pizzi memperagakan persembahan lebih baik apabila tewas tipis 1-0 di tangan Uruguay berbanding dibelasah Rusia 5-0 pada aksi pembukaan.
Mesir turut tewas 1-0 di tangan Uruguay pada aksi pertama dan gagal menghentikan prestasi hebat tuan rumah yang membenam mereka 3-1 pada aksi di Saint Petersburg, Rabu lalu.
Bekas bos Chile itu menjelaskan pendekatan terbaik untuk mengawal pergerakan Salah adalah menggunakan corak permainan berpasukan.

“Kita tidak mengawal Luis Suarez secara khusus pada aksi sebelum ini namun kita lihat kualiti yang dimiliki pemain sepertinya,” kata Pizzi.
“Apabila anda memiliki kualiti individu yang tinggi seperti mereka, anda perlu tunjukkan kepada pemain bahawa apa yang perlu kita lakukan adalah menghalang mereka daripada melakukan sesuatu.
“Sama juga untuk Mohamed Salah. Dia ada kualiti yang besar dan kariernya pada musim ini begitu menyerlah.
“Sudah tentu kami akan mengambil langkah pencegahan – tetapi bukan semata-mata untuk dia tetapi secara keseluruhan.” – Agensi

