RAKYAT Malaysia yang bermain bagi pasukan bola sepak Amerika Syarikat melakar sejarah apabila berjaya menjaringkan gol di Major League Soccer (MLS) semalam.
Wan Kuzain Wan Kamal, mewakili pasukan Kansas City meledakkan gol pada minit ke-34 setelah masuk menggantikan Yohan Croizet pada minit ke-18, lapor Berita Harian.
Keadaan kelam-kabut dalam kawasan kotak penalti bijak digunakan Kuzain mencipta gol hasil hantaran silang rendah sebelah kanan Graham Zusi menerusi penyudah kaki kiri untuk pasukannya kembali mendahului 2-1.

Dalam pada itu, pemain berusia 20 tahun itu tidak menyangka sepakannya itu membuahkan hasil dan diketahui selepas mendengar jeritan gol.
“Saya membuat sentuhan yang baik dan Peter (Vermes) memberitahu kata ianya gol. Jadi saya mendengarnya menjerit apabila gol,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut Kansas City telah berjaya menewaskan Minnessota United 4-1.
Tiga lagi gol lain Kansas City disumbangkan oleh Daniel Salloi, Cristian Lobato dan Diego Rubio sekli gus mengekalkan rekod tanpa kalah kelima berturut-turut.
Terdahulu, Kuzain membuat penampilan sulung semasa aksi pertama menentang Columbus Crew SC.
Melalui dua perlawanan yang telah dilaluinya ini mampu memberi pencapaian yang baik bagi perlawanan akan datang.
“(Ia perasaan) lebih hebat (berbanding kali pertama menandatangani kontrak bersama Kansas City) dan sukar untuk digambarkan,” kata Kuzain selepas perlawanan.
“Ia amat bermakna dan semoga lebih banyak kejayaan mampu dicapai selepas ini.”
Pemain yang dibentuk di Akademi Bola Sepak St. Louis Scott Gallagher itu mula menjadi tumpuan rakyat Malaysia selepas dia dipilih menjalani latihan bersama pasukan Bawah 17 tahun (B-17) AS pada 2015.
Wan Kuzain mula menyertai akademi Sporting (2016), sebelum ke Swope Park Rangers (SPR) pada 2017 untuk beraksi dalam Liga Bola Sepak United (USL) di AS. Dia muncul sebagai pemain Malaysia pertama merangkul trofi Kejohanan Persidangan Barat USL pada November tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC/MIZE