ISTIQOMAH… Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan terus kekal dalam UMNO meskipun beliau ditakdirkan tidak dipilih sebagai presiden parti itu pada pemilihan yang berlangsung Sabtu depan.
Naib Presiden yang ketika ini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO itu berkata, beliau juga akan membantu sesiapa sahaja yang bakal memimpin untuk terus memperkukuhkan parti keramat Melayu Islam tersebut.
“Saya akan menyumbangkan idea saya, sekurang-kurangnya untuk perkukuh parti. Dan jika saya menang, seperti saya telah sebutkan, saya tidak akan tinggalkan seorang pun untuk sama-sama bantu saya memperkukuhkan parti.
“Ini melalui agenda-agenda pembaharuan yang akan dibincangkan secara bersama,” kata Ahmad Zahid dalam sesi temubual bersama media bersempena dengan pemilihan jawatan UMNO di Menara Dato Onn, di ibu kota hari ini.
Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden bakal berdepan dengan cabaran utama daripada tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata bahawa beliau tidak perlu merendahkan imej dan tahap dirinya dengan menyahut cabaran bersumpah laknat yang diminta oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Beliau sebaliknya menegaskan, sudah cukup dengan sumpah Wabillahi Watallahi berhubung isu dibangkitkan setelah dilafazkannya sendiri ketika perjumpaan dan majlis Aidilfitri UMNO Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.
“Sumpah itu adalah muktamad sebagai orang Islam yang beriman,” kata Ahmad Zahid merujuk tohmahan Khairuddin dalam isu pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Beliau turut mengulas cabaran terbaharu Khairuddin yang sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid konon pernah memintanya supaya mengatur perjumpaan dengan Pengerusi Pakatan Harapan itu di Putrajaya pada 7 Jun lalu.
Ia susulan penafian keras Ahmad Zahid sebelum ini yang sudah menjelaskan bahawa bukan beliau yang meminta berjumpa Mahathir tetapi dijemput untuk bertemu dan bertegas enggan melayan tuntutan agar UMNO dibubar.
Namun ‘orang kuat’ Mahathir itu pula mendakwa kononnya Ahmad Zahid berbohong dan mahu mereka berdua untuk bersumpah laknat setelah Khairuddin kantoi dengan pendedahan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

