SUNGAI PETANI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kedah merekodkan 17 kes kebakaran bagi tempoh 15 hari pertama Ramadan tahun ini dengan kebanyakannya disebabkan aktiviti memasak yang tidak mengutamakan aspek keselamatan.
Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata, kebanyakan kes kebakaran membabitkan bangunan kediaman.
Sebanyak 33 kes dilaporkan membabitkan kebakaran rumah kediaman sepanjang Ramadan tahun lalu berbanding 17 kes dalam masa 15 hari pertama Ramadan tahun ini, katanya.
“Hasil kajian kami, kebakaran struktur meningkat kerana ramai suri rumah yang memasak untuk bersahur atau berniaga di bazar Ramadan, dan melepasi 15 hari kedua Ramadan, ada yang membuat kuih, aspek keselamatan kebakaran dilupakan seterusnya mengundang risiko berlakunya kebakaran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra dan Program Integriti JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya dekat sini, malam tadi.
Turut hadir Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Ahmad Izram Osman.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, secara keseluruhannya, 127 kes kebakaran dilaporkan sepanjang Mei tahun ini, meningkat tujuh kes berbanding 120 kes pada Mei 2017.
“Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan. Sungai Petani dan Kulim mencatatkan kes tertinggi iaitu masing-masing 19 dan 17 kes, berbanding daerah-daerah lain,” katanya.
Menurutnya, kebakaran membabitkan bangunan meningkat enam kes daripada 31 kes (Mei 2017) kepada 37 kes (Mei 2018), begitu juga kebakaran melibatkan kenderaan iaitu daripada 13 kes (Mei 2017) kepada 19 kes (Mei 2018).
“Bagi kebakaran membabitkan bangunan, tiga kawasan yang mencatatkan kes tertinggi ialah Alor Setar (enam kes), Sungai Petani (lima kes) dan Kulim (lima kes), manakala kebakaran melibatkan kenderaan pula, Guar Chempedak (lima kes) dan Sungai Petani (tiga kes),” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, JBPM Kedah turut menyampaikan 20 alat pemadam api bersaiz 9 kilogram kepada lima Skuad Bomba Sekolah Pondok serta sumbangan kepada lima keluarga asnaf, di sekitar Sungai Petani. – BERNAMA