KUALA LUMPUR – Seorang wanita antara 10 pemandu bas ekspres yang dikesan positif dadah dalam operasi bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 8 Jun hingga Selasa lepas.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata mereka merupakan antara 2,624 pemandu bas yang diperiksa di 25 terminal bas utama di seluruh negara.
“Setakat Selasa, hanya 10 pemandu bas ekspres yang dikesan positif dadah dan operasi ini akan tamat Ahad ini. Kesemua mereka (pemandu bas) ini berumur antara 30 dan 44 tahun serta didapati mengambil dadah sintetik.
“Turut ditahan, seorang wanita berusia 44 tahun yang dikesan positif dadah jenis methamphetamine selepas pemeriksaan di Terminal Bas Klang pada 11 Jun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media operasi bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan di sini, hari ini.
Abdul Halim berkata pihaknya akan terus melaksanakan operasi berkenaan dari masa ke masa bagi memastikan pemandu bas ekspres bebas daripada penyalahgunaan dadah supaya keselamatan penumpang terjamin.
“Intervensi awal ini adalah bagi mengelak berlakunya kemalangan jalan raya yang boleh membahayakan nyawa orang ramai,” katanya – BERNAMA

