NASIB malang menimpa seorang warga emas selepas pacuan empat roda dinaikinya tergelincir lalu jatuh dari feri ke Sungai Batang Samarahan di jeti Muara Tuang di Samarahan, hari ini.
Mangsa, Bernabas Lias Jalal, 77 telah menggunakan perkhidmatan feri bagi menyeberangi kenderaan Toyota Hilux pada jam 7.15 pagi.
Lapor Harian Metro, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 7.28 pagi mengenai kejadian.
Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan telah dikejarkan ke lokasi tersebut.
Dipercayai, Toyota Hilux yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba bergerak ke hadapan ketika feri berada di tengah sungai berkenaan.
“Toyota Hilux berkenaan terjunam ke dalam sungai menyebabkan orang awam memaklumkan kepada pemandu feri untuk segera berhenti.
“Pasukan bomba kemudiannya mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Batu Lintang untuk melakukan selaman bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di dalam kenderaan itu,” katanya.
Operasi menyelamat masih dijalankan di kawasan berhampiran jeti namun tiada tanda positif menemui mangsa.
Pasukan penyelamat cuba mengesan pacuan empat roda dipandu mangsa bagi membolehkan kenderaan itu ditarik ke tebing kerana mangsa dipercayai masih terperangkap di dalamnya.
Sehingga kini, penduduk setempat di kawasan sekitar Samarahan dan Asajaya masih menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sungai Batang Samarahan dalam aktiviti seharian. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

