SEORANG wanita telah dituduh menyalahguna wang sumbangan untuk rawatan anak perempuannya yang menghidap kanser dengan menggunakan wang terbabit bagi merawat seorang lagi anak lelakinya yang mengalami sumbing.
Tanpa rawatan yang sempurna, kanak-kanak perempuan malang itu, Yaya, yang menghidap kanser mata, telah meninggal dunia pada 4 Mei lalu.
Kematiannya mencetuskan kemarahan ramai kerana keluarganya tidak menyediakan rawatan yang sepatutnya walaupun mereka mendapat jumlah sumbangan yang banyak iaitu kira-kira RM90,000.

Keluarga itu juga dituduh lebih menyayangi anak lelaki mereka meskipun kanak-kanak perempuan tersebut menghidap penyakit yang mengancam nyawa.
Keadaan menjadi kecoh selepas berita berkenaan disebarkan menerusi WeChat baru-baru ini.
Menurut portal iFeng, pada mulanya si ibu, Yang, yang berasal dari Henan, China, telah merayu bantuan ramai untuk mengubati Yaya, yang berusia dua setengah tahun, bagi mengubati kanser mata.

Yang dikatakan berjaya mengumpul wang yang banyak hasil sumbangan orang ramai.
Bagaimanapun dia tidak menggunakan wang berkenaan untuk rawatan Yaya sebaliknya telah menggunakan sumbangan itu bagi membolehkan anak lelakinya menjalani pembedahan.
Keluarga Yaya membuat kutipan berkenaan pada 3 hingga 29 November tahun lepas dan sekali lagi pada 15 hingga 27 Mac lalu. – MYNEWSHUB.CC