AKIBAT tidak memasak nasi, seorang wanita cedera dipukul suami yang berang dalam kejadian di sebuah rumah di Garden Avenue, Seremban 2, Seremban, semalam.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 32 tahun sedang melayan kerenah lima anaknya termasuk seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan.
Sumber berkata, suami mangsa berusia 39 tahun memintanya memasak nasi, namun wanita itu berleter dan menyindir lelaki itu.
āKerana marah disindir, mangsa ditumbuk di pipi kanan dan kiri serta dibelasah oleh suaminya menyebabkan seluruh badannya lebam.
āAkibat tindakan suaminya, mangsa nekad keluar rumah dan meninggalkan semua anak bersama suaminya,ā katanya.
Menurutnya, mangsa difahamkan berjalan sejauh lima kilometer menuju Plaza Tol Seremban kerana mahu pulang ke rumah ibu bapanya di Petaling Jaya, Selangor.
āKetika di plaza tol berkenaan, mangsa ditumpangkan seorang pengguna jalan raya pulang ke rumah ibu bapanya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 9.20 malam,ā katanya.
Kata sumber itu lagi, mangsa memberitahu tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya dan mendakwa pernah dibelasah dengan wayar kabel elektrik sehingga pengsan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan. – myMetro Online