TAHAP kesihatan tonggak utama drama drama, Mr. Grey iaitu Fendy Bakry yang dilaporkan mengalami penyakit misteri kini semakin pulih selepas hampir sebulan menerima rawatan.
Memetik kenyataan Pengurus Besar Prokuya Studio, Fadzil Zahari berkata, pelakon itu mula menunjukkan perubahan positif dan hal tersebut tentunya sangat menggembirakan semua pihak.
“Alhamdulillah, keadaannya bertambah baik dan perkembangan itu beri tanda positif untuk lihat Fendy segera pulih. Kami juga sentiasa berharap dia akan kembali sihat dan dapat bekerja seperti biasa,” kata Fadzil dipetik BH Online.
Fadzil dalam pada itu turut memberitahu Fendy menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti memberi galakan serta mendoakan kesihatannya.
“Semua ini berkat doa mereka yang tidak pernah jemu beri kata semangat untuk melihatnya sembuh seperti sedia kala. Fendy sangat berterima kasih kepada peminat yang setia mendoakan kesihatannya,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Fendy menerusi salah sebuah entri di laman Instagram miliknya memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik selain turut mempromosikan drama lakonannya yang masih ditayangkan.
“Salam semua. Hangpa sihat ka? Alhamdulillah abang okay. Kita jumpa lagi malam ini,” tulis pemilik nama sebenar Mohd Affandi Nor Bakri itu.
Baca: ‘Mr. Grey’ Jatuh Sakit, Balik Kampung Untuk Berubat
Juga: Sukar Bercakap, Kesihatan ‘Mr. Grey’ Makin Merosot
Sebelum ini, Fendy dilaporkan mula mengalami sakit kepala dan badannya juga lemah sehingga tidak mampu untuk membuat apa-apa pekerjaan ketika menjalani penggambaran.
Disebabkan itu, pelakon berkenaan kini sedang menjalani rawatan alternatif dengan berubat cara kampung di kediaman keluarganya di Perlis. – MYNEWSHUB.CC/AM