KUCHING – Seorang remaja lelaki yang lengkap berpakaian seragam sekolah ditemukan lemas selepas terjatuh dari Jambatan Darul Hana di sini pagi tadi.
Komander Operasi, Mohammad Mirza Dzalmira Miraj berkata berdasarkan maklumat awal, mangsa berusia 14 tahun itu dipercayai tergelincir ketika memanjat palang sebelum jatuh ke sungai.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota penyelamat telah digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dijumpai pada 10 pagi dan dibawa ke tebingan sungai, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Umum.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya. – BERNAMA