KUALA LUMPUR – Rakyat kini yakin bahawa Malaysia akan menjadi negara yang disegani dan disanjung kembali selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mathiarasan Murugaiah, 48, berkata, ini kerana, rakyat amat mengenali Dr Mahathir yang sememangnya terkenal dan menyedari akan pencapaian beliau sebelum ini ketika menjawat jawatan Perdana Menteri pada tahun 1981 hingga 2003.
“Kita percaya dengan Tun (Dr Mahathir) yang beliau akan menerajui negara ini ke peringkat yang lebih gemilang. Ini disebabkan rakyat sudah penat dan putus asa dengan kerajaan sebelum ini yang sering mencemarkan nama baik Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata umum sedia maklum bahawa zaman Dr Mahathir juga banyak kejayaan yang dilakukan beliau seperti pembinaan Menara Berkembar KLCC, Menara Kuala Lumpur, Petronas dan juga yang menarik perhatian dunia ketika beliau ‘merampas’ syarikat Kumpulan Guthrie Berhad yang dimiliki oleh orang asing dengan kebijaksanaannya.
Mathiarasan berharap bahawa kerajaan baharu yang akan dibentuk dapat melaksanakan mandat yang diberi oleh rakyat sebaik-baiknya.
“Jikalau kerajaan yang baharu ini tidak melakukan yang terbaik, maka lima tahun lagi, kita akan pilih orang lain untuk memerintah,” katanya.
Sementara itu, seorang penyokong PH Izirul Amzan, 20, berkata yang beliau mahukan perubahan di bawah pemerintahan dan pentadbiran baru yang terbentuk ini.
Menurutnya, orang muda kini sudah bijak berfikir ke hadapan dan memilih kerajaan yang terbaik untuk mereka.
“Saya pasti dengan pemerintahan Dr Mahathir pada kali ini sebab masa saya kecil dulu pun dia dah bangunkan Putrajaya dan Kuala Lumpur. Pada masa itu Tun membina KLCC dan kita (Malaysia) sedang menuju menjadi sebuah negara maju,” katanya yang tiba di hadapan Istana Negara sejak pukul 5.30 petang. – BERNAMA