MESRA… Datuk Seri Najib Razak memulakan lawatan kerja di daerah Kuala Selangor hari ini dengan bersarapan bersama masyarakat setempat di Restoran Mamak Signature, Puncak Alam.
Perdana Menteri tiba pukul 8.50 pagi dengan diiringi Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Noh Omar sempena kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Turut hadir ialah calon BN kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim; calon DUN Jeram, Zahar Azlan Arifin; calon DUN Ijok, K Parthiban dan calon DUN Bukit Melawati, Jakiran Jacomah.
Najib yang menjamah putu mayam dan kari, meluangkan 30 minit beramah mesra dengan ramai pengunjung di restoran berkenaan sambil bersarapan pagi bersama-sama penduduk tempatan.
Beliau kemudian melawat Klinik Desa Bandar Puncak Alam yang terletak berhampiran. Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau kemudahan perubatan di klinik tersebut.
Ia yang menawarkan perkhidmatan perubatan untuk ibu dan anak itu mula beroperasi pada 2004. Klinik itu ada tujuh kakitangan termasuk seorang doktor bagi memantau keadaan pesakit terutamanya ibu hamil dan bayi.


Sementara itu, peniaga air kelapa, Mahir Abdullah, 48, bersama isteri dan anak bongsu mereka berusia tiga tahun terharu berpeluang duduk makan semeja dengan pemimpin nombor satu negara.
“Kami tiga beranak kerap bersarapan di restoran sebelum memulakan perniagaan namun kenangan kali ini amat bermakna kerana dapat bersama PM,” katanya yang menetap di Fasa 3 Puncak Alam.
Keterujaan itu turut dikongsi penduduk yang juga pesakit autisme, Mohamad Husni Mohamad Mazlan, 36, yang hadir awal semata-mata untuk menemui sendiri Najib.
“Saya bangga kerana beliau bukan saja berjiwa rakyat, malah sentiasa membantu semua golongan memerlukan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak sekian lama,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

