KUALA LUMPUR – Seorang pengasas syarikat perusahaan internet didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, hari ini atas pertuduhan mengeluarkan instrumen pembayaran wang elektronik yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), enam tahun lalu.
Tertuduh, Teow Wooi Huat, 52, yang juga pengasas syarikat MBI Markerting Sdn. Bhd. dan Mface International Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab bagi pengurusan hal ehwal MBI Marketing dan anak syarikatnya, Mface International, mengeluarkan suatu instrumen pembayaran yang ditetapkan tanpa kelulusan iaitu wang elektronik yang diperuntukkan di bawah Seksyen 24(1) Akta Sistem Pembayaran 2003.
Lelaki itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di sebuah premis di Ampang Avenue, di sini, antara 3 Jun 2012 hingga 17 Mac 2018.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Sistem Pembayaran 2003 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada BNM, R. Hardeep Kaur menawarkan jaminan RM150,000 bagi setiap pertuduhan bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam M. Mahendra memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan 1 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, pengeluaran instrumen pembayaran yang ditetapkan di bawah akta ini (Sistem Pembayaran 2003) memerlukan kelulusan daripada BNM dan pengendali sistem itu dikehendaki mengemukakan dokumen kepada BNM sebelum dibenarkan memulakan operasi selepas menerima pemberitahuan bertulis.
Sebelum ini, pada tahun 2011, tertuduh pernah dipenjara sehari dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu 93 pelabur berkaitan pelaburan program yang dipanggil Island Red Cafe. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…