FESTIVAL Filem Manhattan di New York, Amerika Syarikat (AS) merakamkan detik bermakna buat industri filem negara apabila seorang pengarah tempatan telah berjaya meraih pengiktirafan baru-baru ini.
Dharius Zulkefli, melalui filemnya The Selfish Ones telah dianugerahkan kategori Drama Keluarga Terbaik sekali gus menjadi kebanggan Malaysia.
Pada mulanya, beliau berdepan dengan kejutan budaya ketika berada di luar negara, namun sudah serasi selepas menetap di New York.
“Saya perlu buktikan kemampuan artistik saya adalah suatu yang unik. Menjadi warga asing, apa yang penting Malaysia memberikan elemen unik yang sebenar terhadap sesuatu subjek dan saya sampaikan pada penonton Amerika dan Barat untuk berhibur,” katanya pada Astro Awani.
Tambahnya lagi, sebagai pembikin filem muda hari-hari yang mendatang perlu diisi dengan tontonan filem sama ada filem itu bagus atau sebaliknya kerana melaluinya pasti ada perkara yang boleh dipelajari.
“Sebagai karyawan filem, ia menjadi tugas untuk belajar filem lama mahupun baru. Kedua, jangan takut gagal atau disingkir kerana ia hanyalah proses pembelajaran untuk setiap karyawan filem,” jelasnya.
Terdahulu, beliau pernah memenangi Suntingan Terbaik untuk filem pendek, Kun Fa Yakun mengatasi 45 filem lain pada Festival Filem Antarabangsa United (UIFF) yang berlangsung sebelum ini. – MYNEWSHUB.CC/MIZE