SEPANGGAR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Orang Sabah akan menolak Pakatan Harapan kerana parti pembangkang itu mengamalkan sentimen politik mengadu domba dan menabur fitnah.
Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) berkata orang Sabah termasuk Sarawak adalah rakyat yang mahukan politik membangun dan bukannya politik tidak mempunyai dasar masa depan jelas.
“Mereka (Pakatan Harapan) hanya mengamalkan politik menghina, mengadu domba serta memfitnah dalam setiap ceramah mereka yang boleh menaikkan emosi, perasaan marah (rakyat) dan sebagainya.
“Ini merupakan politik tidak sihat. Dan, orang Sabah akan menolak (Pakatan Harapan) seperti mana mereka (Pakatan Harapan) ditolak selama ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini hari ini.
Abdul Rahman diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam laporan akhbar berhubung Pakatan Harapan boleh membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 ini jika memenuhi tiga syarat termasuk memecahkan ‘deposit tetap’ Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak.
Lim mengeluarkan kenyataan itu ketika memberi ceramah Pakatan Harapan di Kota Laksamana, Melaka, malam tadi.
Abdul Rahman berkata Pakatan Harapan tidak akan mampu memecahkan ‘deposit tetap’ mahupun kekuatan BN di Sabah dan Sarawak kerana sentimen parti politik itu bersifat mengaburi mata dan tidak berterus terang dengan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman yang juga calon BN di kerusi Parlimen Sepanggar pada pilihan raya kali ini berkata, Sepanggar diyakini masih kubu kuat BN dan beliau akan memastikan perancangan pembangunan realistik dan boleh dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di kawasan itu.
“Rakyat Sabah tidak mahu digula-gulakan oleh satu janji yang tidak boleh direalisasikan. Atas sebab itu, di Sepanggar ini, kami hanya memberi perancangan yang boleh dibuat, praktikal, realistik untuk masa depan,” katanya. – BERNAMA