NIAT murni pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad untuk menghantar tiga peminat mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah sempena kehadiran Ramadan telah berjaya ditunaikan.
Tiga orang peminat yang terpilih merupakan Zaharah Teh, 69, Zaime Abu Yamin, 47, dan Mohammad Shahrul Mohammad Nazal, 27 telah pun berlepas ke kota suci berkenaan kelmarin dan dijangka pulang ke tanah air pada 23 Mei ini.
Jelas Nabil, dia sudah lama berniat untuk menunaikan hasrat peminatnya yang kurang berkemampuan bagi memberikan mereka peluang untuk menjejakkan kaki dan merasai pengalaman manis di Kota Mekah.
Baca:Â Peluang Terbaik! Nabil Mahu Bawa Peminat Ke Makkah
Justeru, Nabil mengakui bersyukur apabila ianya menjadi kenyataan sambil mendedahkan bahawa dia juga pernah ditaja seseorang sewaktu kali pertama menunaikan ibadah tersebut.
“Saya pernah ditaja seorang hamba Allah ketika kali pertama menunaikan umrah. Setiap kali menjejakkan kaki di Tanah Suci, saya selalu berniat menaja mereka yang kurang berkemampuan untuk menikmati pengalaman sama.
“Alhamdulillah, saya mulakan dengan menaja tiga peminat dahulu. Saya lakukan semua ini bukan mahu menunjuk atau riak, tetapi Allah SWT dorongkan saya supaya ikhlas membantu mereka yang begitu teringin mahu menjejak kaki ke Tanah Suci,” katanya memetik BH Online.
Pengacara program MeleTOP itu berkongsi rezeki berkenaan bersama peminatnya bersempena ulang tahun ke-10 pembabitannya dalam industri hiburan negara.
Ujar Nabil, tidak banyak yang dimintanya sebagai pembalasan kecuali supaya mereka yang berpeluang ke tanah suci itu mendoakan kejayaan dan keberkatan untuk dia dan keluarganya di dunia dan akhirat.
Untuk pegetahuan, tiga peminat yang bertuah tersebut hanya perlu membayar sebanyak RM3,000 sebagai pendahuluan dan selebihnya ditanggung oleh Nabil sendiri.
Dalam pada itu, Nabil turut menceritakan bahawa pada mulanya, terdapat penaja yang mahu membayar kos menunaikan umrah itu namun telah menarik diri pada saat akhir.
“Jadi, saya bertanggungjawab sepenuhnya kerana sudah berjanji. Saya anggap ini sebagai saham akhirat. Saya keluarkan wang simpanan untuk menampung bayaran selebihnya.
“Ia menjadi hadiah istimewa kepada peminat sebagai penghargaan atas doa dan sokongan yang diterimanya selama sedekad dalam industri hiburan,” ujarnya.
Sementara itu, Nabil berkata dia tidak berkesempatan untuk turut bersama menunaikan umrah bersama peminatnya itu disebabkan terikat dengan beberapa tuntutan kerja. – MYNEWSHUB.CC/EZ