LAHAD DATU – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku, Mizma Appehdullah berazam merealisasikan projek pembinaan masjid Tungku yang pernah disuarakan sebelum ini sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU14), Rabu ini.
Mizma berkata, projek pembinaan masjid itu merupakan salah daripada sembilan teras manifesto ‘Aku Janji Mengabdi Bersama Rakyat’ yang digariskan oleh beliau jika diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat Tungku kali ini.
“Saya pernah merujuk tentang hal ini kepada pihak bertanggungjawab dan apabila saya diberi mandat itu, saya akan mengusahakan supaya pembinaan masjid daerah kecil Tungku ini dipercepatkan bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Ini kerana, pincangnya sesuatu kawasan ialah apabila masjid yang menjadi simbol kekuatan dan kemakmuran Islam tidak didirikan di kawasan itu,” katanya semasa berucap pada majlis santai bersama pemimpin di Sekolah Agama Rakyat Kampung Dengan dekat sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri kira-kira 80 guru sekolah agama dan imam-imam surau bagi DUN Tungku.
Mizma, yang juga Ketua Wanita UMNO Silam, berkata, selain pembinaan masjid, beliau juga komited memperkasa sekolah-sekolah agama dalam usaha melahirkan anak-anak bangsa yang profesional, berjiwa Islam dan berjiwa rakyat.
Pada PRU14, Mizma akan berdepan dengan calon Warisan, Assaffal@ Samsul Kamal Alian, Bulangan Panasi (HR) dan calon PKS, Abdul Rahman Taggoh.
Pada PRU13, calon BN, Mohd Suhaili Said menang kerusi tersebut dengan majoriti 5,484 undi dalam pertandingan lima penjuru. – BERNAMA