SEORANG lelaki maut apabila Perodua Myvi yang dipandunya telah terbakar selepas terperosok masuk di bawah bas ekpres di Mersing, semalam.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.20 malam di kilometer 14 Jalan Mersing-Endau melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Iskandar Shahrizal Yusop.
Ketika kejadian dipercayai, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kulai selepas berjumpa keluarga bakal isterinya di Endau.
Lapor Harian Metro, Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Md Isa berkata, punca kemalangan disebabkan mangsa hilnag kawalan di satu selekoh tajam lalu memasuki laluan bertentangan.
“Secara kebetulan, sebuah bas ekspres dari Johor Bahru ke Kota Bahru, Kelantan, berada di tempat kejadian dan tidak sempat mengelak. Akibatnya, Perodua Myvi itu melanggar bahagian kanan bas berkenaan dan terperosok ke bawah bas.
“Kedua-dua kenderaan terbakar, namun 10 penumpang dan seorang pemandu berjaya menyelamatkan diri, malangnya pemandu Perodua Myvi terbunuh dalam kemalangan itu,” katanya hari ini.
Mangsa yang rentung itu dapat dikeluarkan selepas kebakaran kedua-dua kenderaan tersebut dipadamkan.
Mayat mangsa telah dihantar ke unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.25 malam.
Sebanyak sembilan anggota dan sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian selain menerima bantuan seramai 10 anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing.
“Apabila tiba kami dapati api marak dan Perodua Myvi itu berada di bawah bas berkenaan. Kami cuba memadamkan kebakaran namun gagal kerana api terlalu marak dan kejadian berlaku dengan pantas.
“Berikutan itu, kami mengawal kebakaran dan sebaik berjaya memadamkan api kami menemui satu mayat lelaki yang belum dikenali rentung dalam kereta itu,” ujarnya.
Menurutnya, kesemua 10 penumpang dan seorang pemandu bas ekspres sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

