BIDAS… Dakwaan liar Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull konon pihak Majlis Raja-Raja tidak mahu bertindak mengenai isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai tidak benar.
Perkara itu dijelaskan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad di ibu negara sebagai menjawab tohmahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam.
Beliau malah menjelaskan yang Ketua Pesuruhjaya, Timbalan dan pegawai kanan SPRM, pernah dititahkan supaya menghadap Seri Paduka Baginda dan raja-raja bagi menyembahkan taklimat berkaitan isu syarikat itu pada 2015.
Syed Danial berkata, susulan taklimat tersebut, satu kenyataan rasmi kemudian dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja sendiri bagi menunjukkan bahawa Duli-duli Yang Maha Mulia ada memberi perhatian berat terhadap isu 1MDB.
Titah khas tersebut bagaimanapun ujar beliau masih lagi mengikut ruang lingkup peranan dan kuasa raja-raja yang tetap berlandaskan kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, lapor portal tempatan AgendaDaily.
“Raja-raja telah menitahkan untuk satu kenyataan, yang menunjukkan bahawa Duli-duli Yang Maha Mulia memberi perhatian yang berat, dan ia dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia dikeluarkan bertarikh 6 Oktober 2015. Syed Danial mengulas kenyataan Mohd. Shukri konon Majlis Raja-Raja tidak bertindak mengenai kes 1MDB, walaupun barisan tertinggi SPRM menghadap Majlis Raja-Raja pada tahun itu.
Turut dilampirkan bersama kenyataan tersebut adalah salinan kenyataan media yang dikeluarkan pada tarikh berkenaan yang disiarkan oleh semua media massa selepas Majlis Raja-Raja mendengar taklimat daripada SPRM.
Menerusi kenyataan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menzahirkan keprihatinan terhadap keresahan dalam kalangan rakyat yang menyentuh kritikan terhadap kredibiliti dan integriti pihak kerajaan pada ketika itu.
Sehubungan itu, Raja-raja Melayu menitahkan agar kerajaan dapat menyelesaikan secepat mungkin proses siasatan berkaitan 1MDB, selain mengambil segala tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak terbabit.
Baginda sekalian turut menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur supaya usaha serta maksud siasatan berkenaan berjaya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

