KOTA BHARU – Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu semua pihak menghormati keputusan keluarganya yang tidak membenarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad ziarahi kubur bapanya di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka di sini, hari ini.
Nik Omar yang merupakan calon PKR-PAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 berkata, rancangan bekas perdana menteri itu untuk menziarahi kubur bapanya itu melibatkan sensitiviti keluarga.
“Kita (perlu) raikan sensitiviti keluarga. Jadi saya rasa (perkara ini) tiada masalah dan Mahathir juga tiada masalah (tidak ziarahi kubur bapa),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mahathir Bersama Rakyat di sini, hari ini.
Rancangan Mahathir untuk menziarahi kubur Allahyarham Nik Abdul Aziz yang juga bekas Mursyidul Am PAS, hari ini terbantut apabila dihalang keluarga bekas menteri besar Kelantan itu.
Bermula kira-kira pukul 9 pagi, anak Allahyarham, Nik Adli bersama anggota keluarga serta sekumpulan penyokong PAS bertindak mengunci pagar tanah perkuburan tersebut.
Pintu laluan masuk ke tanah perkuburan itu juga dihalang menggunakan sebuah lori. – BERNAMA