ALOR SETAR – Harga sayur-sayuran di Alor Setar turun sekitar lima hingga 30 peratus, sekaligus memberi khabar gembira buat pengguna ketika kerajaan mahu melaksanakan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 1 Jun depan.
Peniaga, Hafizah Zakaria, 24, berkata antara yang mengalami penurunan ialah daun sup dan daun bawang daripada RM10 kepada RM5 sekilogram (kg) serta cili besar kepada RM10 (RM15 kg) dan cili merah RM8 (RM12 kg) sejak seminggu lalu.
Katanya, turut turun ialah sayur sawi kepada RM4 kg (RM4.60 kg), tomato RM4 (RM4.60 kg), lobak merah RM5 kg (RM6 kg) dan timun RM3 (RM4 kg).
“Harga ketika ini cukup murah dan saya rasa adanya lambakan bekalan sayur-sayuran, cuma yang ada kenaikan sikit ialah brokoli dan lobak merah, dengan ini secara tidak langsung akan merancakkan semula pembelian pengguna,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Seorang lagi peniaga, Thia Leik Kya, 60, berkata harga barang basah terutama sayur-sayuran semakin stabil jika dibanding pada tiga tahun lalu.
“Harga tak menentu juga, ada kalanya naik dan ada yang turun dan seminggu lalu turun sikit-sikit, ini menyebabkan ramai yang membeli dan peniaga boleh untung lebih sedikit ,” katanya.
Seorang pengguna, Sazali Yusoff, 45, berkata penurunan harga bahan mentah di pasar ini diharapkan berkekalan.
“Baguslah jika semua barang murah supaya rakyat tidak lagi terbeban, cuma ada barang lain seperti daging masih dijual pada harga RM34 sekilogram berbanding RM30/kg sebelum ini yang memang membebankan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Chin Ching Chung ketika dihubungi berkata, penurunan harga ini berkemungkinan adanya lambakan barangan tempatan dan yang diimport dari India dan China.
“KPDNKK Kedah akan terus memantau agar barangan keperluan pengguna lain seperti telur, ayam, daging mencukupi dan tidak ada kenaikan mendadak selepas ini,” katanya. – BERNAMA