SEBAGAI satu langkah persediaan masa hadapan, pelakon Serina Redzuawan telah menasihati semua golongan wanita supaya mengukuhkan ekonomi mereka sendiri sendiri.

Bagi Serina yang merupakan anak kepada Chef Wan itu, setiap individu terutama sekaali golongan Hawa, mereka tidak seharusnya terlampau selesa dengan kedudukan sekarang sehingga langsung tiada simpanan atas alasan mempunyai suami sebagai tempat bergantung.
“Wanita memang kena ada pendapatan sampingan. Kalau menjadi suri rumah pun, mereka perlu mengusahakan sesuatu sebagai sumber kewangan.
“Sekurang-kurangnya simpanan yang dibuat dapat meringankan beban ketika diperlukan atau tatkala berdepan musibah. Semua ini adalah pelan sokongan masa depan.
“Apabila kedudukan ekonomi kukuh, jika ditinggal suami pun, kita ada sokongan kewangan tanpa perlu meminta di sana sini. Persediaan sebegini juga untuk diri sendiri dan anak-anak,” ujarnya dipetik daripada portal BH Online.

Dalam masa yang sama, wanita berusia 35 tahun itu turut mengakui bahawa dia sudah biasa hidup berdikari sejak kecil sehingga apabila dia bercerai bersama bekas suami, Gavin Edward O’Luanaigh atau Salahuddin Ghaffar.
Ia telah membuatkan dia bertambah kuat dalam meneruskan kehidupan bersama dua anaknya. Namun, sejak kecil Serina sememangnya sudah terbiasa berusaha sendiri dengan tidak harap apa-apa bantuan daripada ibu bapanya.
Malah, pelakon telefilem Antara Capati Dan Belacan itu turut mempunyai pengalaman dalam melakukan pelbagai jenis pekerjaan demi mencari rezeki untuk dirinya sbeelum ini.

“Saya diduga dengan macam-macam perkara sejak kecil. Ibu bapa saya bercerai ketika umur saya dua tahun. Tetapi, saya tak anggap ia sebagai masalah dan saya tidak salahkan mereka.
“Siapa yang berkahwin untuk bercerai? Saya jadikan perpecahan keluarga sebagai dorongan untuk membuktikan keupayaan diri. Kita tunjukkan kita juga boleh berjaya.
“Bapa pun tahu saya jenis kuat bekerja dan tidak suka meraih simpati. Di Instagram, orang berasa pelik sebab saya tak sudah-sudah dengan bisnes sedangkan bapa saya kaya.
“Selagi ada kudrat, saya tidak mahu bergantung kepadanya,” katanya lagi. Disebabkan itu, Serina sering menjadikan bapanya sebagai seorang penasihat dan pembakar semangat buatnya.
Bukan sahaja dalam bidang perniagaan, pelakon itu aktif dalam aktiviti persatuan sehingga mampu menubuhkan Celebrity Sports Club yang dijadikan penggalak bagi golongan selebriti untuk amal gaya hidup sihat. – MYNEWSHUB.CC/AH

