BERA – Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri optimis sokongan masyarakat luar bandar kepada Barisan Nasional (BN) akan dizahirkan pada 9 Mei ini.
Beliau yang juga calon BN Parlimen Bera berkata masyarakat luar bandar sudah bijak untuk menilai siapakah yang banyak membantu mereka, sama ada menerusi bantuan ekonomi atau kemudahan infrastruktur.
“Kerajaan telah wujudkan pelbagai program untuk melonjakkan ekonomi masyarakat luar bandar… ditambah dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Mlaaysia (BR1M).
“Menyedari kepayahan peneroka dan nelayan pada musim tengkujuh, kerajaan wujudkan pula elaun musim tengkujuh. Semua ini bukti keprihatinan kerajaan dan saya yakin mereka tahu siapa yang menjaga mereka sebaiknya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Produk Industri Asas Tani Parlimen Bera di Bandar 32 di sini, hari ini. -BERNAMA