BAGAN SERAI – Tindakan berani dua lelaki membeli telefon pintar menggunakan wang palsu yang dicetak sendiri membawa padah apabila kedua-duanya diberkas polis di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt. Omar Bakhtiar Yaacob berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dua suspek berumur 36 dan 26 tahun membeli sebuah telefon pintar jenama Huawei di sebuah premis di Jalan Pasar berharga RM600.
“Setelah suspek keluar dari premis terbabit, pekerja di situ mengesyaki empat keping wang RM100 yang diterimanya adalah palsu berikutan mempunyai nombor siri yang sama sebelum memberitahu majikannya yang kemudian memaklumkan kepada polis di kawasan itu.
“Polis kemudian berjaya mengesan dan menangkap suspek yang pada ketika itu masih berada di sekitar kawasan terbabit dan sedang leka membuat urusan jual beli telefon di sebuah lagi premis yang dimiliki pemilik sama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.
Omar Bakhtiar berkata pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan enam telefon pintar pelbagai jenama, dua komputer riba dan enam botol penyembur lutsinar dipercayai digunakan untuk mencetak wang palsu.
Menurut Omar Bakhtiar, polis telah membuat membuat pemeriksaan lanjut di rumah inap desa yang disewa suspek di Taiping dua hari lepas dan menemukan 36 keping wang RM100 bersama pelbagai peralatan untuk mencetak wang palsu.
Beliau berkata berdasarkan pengakuan yang dibuat, modus operandi suspek adalah sering berpindah-randah di seluruh Malaysia bagi menjalankan kegiatan mereka sejak tahun lepas dan mampu mencetak 2,000 keping wang palsu sehari.
Katanya kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang daripadanya baru keluar dari penjara pada tahun 2016 atas kesalahan sama selain turut dikehendaki polis atas empat kes sama di Terengganu.
“Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 28 Mei untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 489 B Kanun Keseksaan,” katanya.
Selain itu, Omar Bakhtiar berkata polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kerian menahan lima lelaki dan merampas 96.35 gram dadah jenis methamphetamine bernilai RM13,580 dalam tiga serbuan berasingan di Alor Pongsu dan Parit Buntar semalam.
Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan merupakan pengedar dan penagih dadah berumur 30-an dan 40-an serta mempunyai rekod kesalahan dadah.
“Ujian air kencing mendapati kelima-limanya positif dadah methamphetamine,” katanya dan menambah mereka kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39B akta yang sama.
Omar Bakhtiar berkata siasatan polis percaya suspek bergerak secara kecil-kecilan untuk menjual dadah tersebut sejak sebulan lepas dengan harga RM140 bagi segram.
“Dengan tangkapan dan rampasan dadah tersebut, polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah methamphetamine di sini dan Parit Buntar,” katanya. – BERNAMA