TIDAK dinafikan, melihat artis yang menjadi kegemaran beraksi di atas pentas membawa kepuasan yang tersendiri dan pengalaman itu pasti ingin dilalui oleh semua orang.
Keinginan menyaksikan idola mereka beraksi di depan mata juga menjadi punca tiket habis dijual dalam masa yang singkat apabila pengumuman mengenai kedatangan artis antarabangsa ke negara ini.
Bagi penyanyi, Syamel, peluang menyaksikan ikon kegemarannya, Bruno Mars membuat persembahan tempoh hari telah membakar semangatnya untuk lebih bekerja keras dalam bidang seni.

“Siapa saja yang tak kenal dengan nama Bruno Mars. Bagi saya, dia adalah ikon yang saya jadikan petunjuk dalam bidang seni.
“Baru-baru ini, ketika dia hadir membuat persembahan di konsertnya di Kuala Lumpur, saya berkesempatan hadir dan melihat sendiri persembahannya,” katanya memetik Harian Metro Online.
Ujar Syamel, konsert yang dilangsungkan pada Rabu lalu itu memberi inspirasi kepadanya untuk menyusun gerak langkah dengan lebih teratur dalam industri hiburan negara selepaa ini.
Jelas pelantun lagu Lebih Sempurna itu, peluang menyaksikan persembahan Bruno Mars sedikit sebanyak telah menyebabkan dia terpengaruh dengan genre muzik yang dibawakan penyanyi antarabangsa itu.

Ujar Syamel, Bruno Mars telah berjaya mempelbagaikan genre lagunya dan tidak hanya tertumpu kepada lagu berentak perlahan sahaja.
Malah, penyanyi asal Hawaii, Amerika Syarikat itu mampu memukau penonton dengan semua jenis lagu yang dibawanya.
“Kalau lihat muzik yang dibawakan Bruno Mars, tak semua adalah lagu perlahan dan mempertaruhkan vokal. Saya pun nak jadi macam tu.
“Insya-Allah, untuk single seterusnya, saya akan hadir dengan lagu yang berbeza berbanding lima lagu balada sebelum ini,” ujarnya.
Justeru, Syamel bercadang untuk mencari lagu yang lebih rancak selepas ini dan dalam masa sama mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana komposer yang berminat untuk menghasilkan lagu untuknya.

“Kalau lagu sebelum ini genre balada, saya nak cari lagu yang lebih rancak dan terbuka kepada mana-mana komposer yang berminat untuk bekerjasama dengan saya,” katanya.
Menurutnya lagi, dia akan cuba mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam persembahannya selepas ini dan tidak mahu sekadar menunjukkan kemampuan vokal ketika beraksi di atas pentas.
“Kadangkala, kalau kita terlalu terbawa dengan vokal dan ingin menunjuk kemampuan, kita akan terlupa satu perkara iaitu menghiburkan penonton.
“Jadi, selepas ini saya akan lebih berseronok ketika berada di pentas dan ingin menghiburkan penonton saat membuat persembahan,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ