WALAUPUN bekas model Playboy ini bersama anak lelakinya yang berusia tujuh tahun sudah tiga hari meninggal dunia, namun kematiannya masih diperkatakan.
Ini kerana mendiang membunuh diri dengan terjun bersama kanak-kanak berkenaan dari tingkat 25 di Hotel Gotham, New York, Amerika Syarikat.
Stephanie Adams, 47, terjun bersama anaknya, Vincent pada pukul 8.15 pagi. Punca Adams berbuat demikian disebabkan perebutan hak menjaga anak dengan bekas suaminya, Charles Nicolai, 47.
Namun tidak diketahui sama ada Adams, yang menjadi model Playboy pada November 1992 ada meninggalkan nota bunuh diri atau tidak. Nicolai sebelum ini dikatakan meminta Adams menyerahkan pasport Vincent.
Hubungan mereka menjadi semakin teruk selepas berpisah malah ketika Nicolai mahu bertemu Vincent, ia terpaksa dilakukan menerusi pihak ketiga bagi mengelakkan berlaku pergaduhan.
Adams pernah berkahwin dengan seorang pakar perbankan selama dua tahun sebelum berpisah dan kemudian bertemu dengan Nicolai pada 2009.
Dalam pada itu, Adams dikatakan tertekan selepas Nicolai dan peguamnya tidak membenarkan dia membawa Vincent ke Sepanyol. Teman lelaki Adams menetap di Sepanyol tetapi memiliki rumah di London.
“Dia hanya mahu membawa anaknya bercuti selama beberapa hari sahaja tetapi tidak dibenarkan,” kata rakan baik Adams.
Menurut rakannya itu, apa yang berlaku sangat mengejutkan kerana Adams amat menyayangi anaknya dan kanak-kanak berkenaan adalah segala-gala baginya. – MYNEWSHUB.CC

