PEMAIN Manchester United, Juan Mata menyifatkan kelab tersebut perlu menjuarai Piala FA bagi memberikan penghormatan tertinggi buat Sir Alex Ferguson yang kini sedang bergelut dengan masalah pendarahan otak.
Tempoh hari, dunia bola sepak dikejutkan dengan berita pengurus legenda mengalami pendarahan otak yang memaksa pembedahan kecemasan dijalankan ke atasnya di Hospital Salford Royal, Manchester, United Kingdom.
Jelas pemain asal Sepanyol itu, biarpun tidak pernah bermain untuk Ferguson, dia merasakan perlawanan akhir Piala FA menentang Chelsea pada 19 Mei depan merupakan satu cara untuk pemain kelab itu memberi penghargaan kepada pengurus tersebut.
”Pada hari Sabtu lalu, kami semua dikejutkan dengan berita mengenai keadaan kesihatan Sir Alex Ferguson. Keadaan ini telah memberikan impak yang besar buat Manchester United, anda semua boleh membayangkannya.
”Kami mesti memberikan penghormatan terhadapnya dalam tiga perlawanan terakhir musim ini terutamanya dalam perlawanan akhir Piala FA,” tulis Mata dalam blog mingguannya.
Mata menyertai Manchester United pada 2013 iaitu selepas Ferguson bersara dari dunia bola sepak selepas 26 tahun mengendalikan kelab itu yang menyaksikan dia memenangi 38 trofi bersama United.
Bagaimanapun, Mata berkata pemain sedia ada di kelab tersebut masih mengekalkan mentaliti juara yang diterapkan pengendali dari Scotland itu sepanjang di Old Trafford.
Dalam masa sama, dia dan seluruh warga kelab bola sepak gergasi England itu akan sentiasa memerhati keadaan kesihatan Ferguson dengan penuh pengharapan.
”Kini kami semua bersatu, dengan harapan Sir Alex akan pulih dengan cepat. Dia merupakan seorang tokoh yang unik dan penting buat bola sepak dunia sejak beberapa dekad yang lalu.
”Saya tidak pernah dilatih olehnya, malangnya, tetapi saya sangat mengetahui mengenai legasinya yang tiada tandingan di kelab ini.
”Untuk mencapai perkara tersebut, kami perlu bekerja keras dalam masa yang sama kami menantikan berita baik mengenai pemulihan Sir Alex,” Ujarnya.
Selain daripada perlawanan akhir bertemu Chelsea, Juan Mata dan rakan sepasukan akan menghadapi baki dua perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris bertemu West Ham United dan Watford.
Dalam pada itu, seorang lagi pemain United, Phil Jones berkata, dia sememangnya terkesan dengan berita itu kerana terhutang budi dengan Ferguson yang membawanya ke kelab itu sewaktu dia berusia 19 tahun pada 2011.
“Di mata saya, dia merupakan seorang legenda. Dialah orang yang bertanggungjawab membawa saya ke kelab ini dan memberi peluang untuk saya bermain di sebuah kelab ternama dunia.
“Ferguson merupakan seperti ayah untuk saya, ia merupakan berita yang amat mengejutkan. Namun, saya tahu karakternya. Dia seorang pejuang. Semoga dia cepat sembuh,” ujar Jones.
Sehingga kini, media tempatan melaporkan Ferguson masih berada di unit rawatan rapi hospital tersebut.
Bagaimanapun, seorang pakar otak, Dr. Peter Hamlyn memberitahu pendapat bahawa masih terdapat potensi untuk Ferguson membuat pemulihan penuh kerana pembedahan berjalan lancar. -MYNEWSHUB.CC/EZ