DEBARAN…. Genap dua minggu selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, tarikh 23 Mei menjadi hari pertama mesyuarat mingguan Kabinet Pakatan Harapan (PH) julung kali diadakan.
Mesyuarat hari Rabu itu memang menjadi amalan kerajaan sejak merdeka yang mengikut tradisi semua negara Komanwel British, namun ia pernah diubah kepada Jumaat ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas perdana menteri keenam itu pernah mengadakan mesyuarat Kabinet pada Jumaat yang tiada persidangan Dewan Rakyat kerana kebetulan semua menteri perlu berada di Parlimen untuk jawab soalan ‘panas’ pada Rabu.
Uniknya mesyuarat pertama kabinet kerajaan PH sejak menang PRU ke-14 pada 9 Mei lalu menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad; yang juga perdana menteri tertua di dunia, banyak buat kejutan tidak dijangka pelbagai pihak.
Kata orang biasanya langkah pertama, tentu ada ‘bekalan’ berita gembira bagi pengundi tegar PH yang mengharap dengan penuh harapan tinggi. Paling ramai tertunggu-tunggu mestilah mengenai isu penurunan harga minyak.
Bukankah janji hendak turun kepada RM1.50 seliter harga petrol RON 95 sekarang daripada RM2.20 seliter? Apa yang pasti, tiada perubahan sejak 22 Mac lepas, waima harga di pasaran global sudah cecah lebih AS$70 setong.
Kata Mahathir, 92, secara nada sindiran, harga minyak mentah dunia memang sudah melonjak tetapi patutkah harga runcit minyak di Malaysia turun pula: “Harga minyak dunia naik… anda nak minta kita turun harga kah?”
Begitulah gaya sinis beliau jawab soalan pemberita tetapi lebih pilu apabila Mahathir ditanya mengenai Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kakitangan kerajaan mulai Julai seperti pernah dijanjikan Najib semasa kempen PRU ke-14.
Pemimpin PH itu dengan selamba berkata kerajaannya tidak terikat pada janji itu. Ironinya, Mahathir mengumumkan gaji menteri dikurang sebanyak 10 peratus berkuat kuasa serta merta sebagai tumpuan sidang media beliau itu.
Bagi generasi muda yang tidak pernah hidup perit zaman Mahathir, mereka mungkin teruja walhal ini adalah ulangan ‘skrip drama’ beliau ketika mula menjadi ketua kerajaan pada 1981, iaitu memotong gaji anggota jemaah menteri.
Baca: Tiada Menteri Agama, Adakah Jakim Bakal Turun Taraf?
Juga: Malaysia Tanpa Menteri Luar! Lawak Pelik Apakah Ini?

Hakikatnya sidang media pasca-Kabinet semalam mencetuskan tanda tanya mengenai isu KGT kepada lebih 1.6 juta penjawat awam yang membayangkan ia mungkin dikaji semula kononnya dek negara kini ada hutang RM1 trilion!
Untuk rekod, Najib ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 pada 4 April lalu, mengumumkan kenaikan gaji bersamaan satu KGT berkuat kuasa mulai 1 Julai yang membabitkan kos RM1.46 bilion.
Malangnya Mahathir nyata tidak minat dan lebih unik, langsung tidak sentuh isu bonus Aidilfitri pada 7 Jun depan melibatkan bayaran RM500 bagi penjawat awam dan RM250 untuk pesara kerajaan sebagai persiapan Hari Raya.
Pemberian bonus tersebut sebenarnya diumumkan Najib ketika pembentangan Bajet 2018 pada tahun lalu dengan bayaran khas pertama RM1,000 bagi penjawat awam dan RM500 untuk pesara telah dilakukan pada 8 Januari lalu.
Apakah Mahathir lupa atau memang tiada dalam agenda beliau, sementelahan majoriti besar staf dan bekas petugas merupakan kaum Melayu beragama Islam yang teguh mengundi PH dan sanggup menolak BN ketika PRU ke-14.
Semasa era Mahathir sebagai perdana menteri keempat, bonus mula diperkenalkan pada 1993 iaitu satu bulan gaji, kecuali pada 1998 apabila dijadikan Bantuan Khas berjumlah RM400 ekoran kemelesetan ekonomi waktu itu.
Ketika itu gaji penjawat awam paling rendah ialah RM600 dan pada 1999 setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat Mahathir, bonus julung kali menjadi RM1,000 sekali gus memastikan BN menang selesa ketika PRU pada tahun itu.
Amalan bonus diteruskan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan apabila Najib menjadi pemimpin, beliau memperkenalkan bayaran khas dengan KGT yang disambut positif pihak CUEPACS sebagai mekanisme lebih baik.
Persoalan cepumas, mampukah Mahathir mengikut jejak kecemerlangan Najib dalam menjaga kebajikan lebih 2.3 juta petugas dan pesara kerajaan selepas ini? Sidang media pasca-Kabinet beliau itu sudah pun beri gambaran awal.
Dengan mansuh pelbagai agensi yang didakwa kononnya bazir duit rakyat dan buang puluhan ribu penjawat awam kontrak era Najib, elok fikir-fikirkanlah bahawa setiap undi pada PRU lepas ada harganya! – Mynewshub.cc/HAA

