BALIK PULAU – Dua lelaki Vietnam anggota ‘Geng Tebuk Besi’ ditahan manakala dua lagi diburu kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah peti besi pejabat, kilang dan sekolah di sekitar Balik Pulau, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt. A. Anbalagan berkata dalam kejadian awal pagi 13 Mei lepas, pengawal keselamatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Cheng, di sini terserempak dengan empat lelaki bertopeng yang cuba memecah masuk pejabat sekolah itu.
“Pengawal itu berjaya menangkap seorang daripada empat lelaki terbabit dan menyerahkannya kepada polis dan hasil maklumat pengawal keselamatan tersebut polis menahan seorang lagi suspek pada hari sama sekitar 11.30 malam.
“Kami sedang memburu dua lagi lelaki Vietnam dan polis percaya mereka masih berada di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal menunjukkan lelaki berusia 27 dan 29 tahun yang ditahan itu masing-masing pernah bekerja di kilang besi dan kilang acuan di Batu Maung dan Bayan Lepas kira-kira empat dan tujuh tahun lepas.
“Berikutan tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah masuk premis pejabat, kilang dan sekolah dengan menebuk peti besi menggunakan pemotong besi sejak 2017 dan tahun ini membabitkan kerugian kira-kira RM235,000,” katanya.
Anbalagan berkata antara barang kes yang dirampas ialah mesin gerudi, pemutar skru, kuku kambing besi, sebilah pahat, mesin pencanai, sebilah parang, playar dan alat pemotong besi.
Beliau berkata dua lagi lelaki yang diburu polis masing-masing berumur 26 tahun dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedu-dua suspek supaya menghubungi pegawai penyiasat di talian 04-8662222 sambungan 1939 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

