TRAGIS… Sebanyak 16 daripada 22 premis kediaman yang terletak bersebelahan di antara satu sama lain musnah dijilat api berlaku di Jalan Sena Off Jalan Melayu, Klang, awal pagi tadi.
Kebakaran yang berlaku pada 16 buah kedai makan itu bagaimanapun tidak dilaporkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa kerana kesemua premis makanan itu difahamkan telah tutup semasa bencana itu berlaku pada jam 2.50 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Zaidi Athan, berkata seramai 14 pegawai dan anggota termasuk dari BBP Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran setelah menerima panggilan pada jam 2.52 pagi.
“Bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu daripada merebak ke keseluruhan 22 premis itu,” katanya pada akhbar tempatan.
Kebakaran berjaya dihentikan pada jam 5.36 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, seorang pemilik gerai yang menjalankan perniagaan mi kari sebagai sumber pencarian rezekinya terus bergegas ke kedainya selepas dimaklumkan kedainya terlibat dengan insiden tersebut.
Yusof Abdullah, 47 yang telah menjalankan perniagaannya sejak tiga tahun lalu dukacita dengan nasib yang menimpa dirinya.
“Setiba di sini, luluh hati ini apabila melihat gerai saya sudah bertukar menjadi abu. Kini, saya cuba menyelamatkan sisa kebakaran yang mungkin masih boleh digunakan,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM10,000. – MYNEWSHUB.CC/MIZE