SERI ISKANDAR – Seramai 90 pelajar tingkatan lima dari dua buah sekolah menengah di Seri Iskandar menerima baucar buku bernilai RM150 menerusi ‘Program Menggapai Impian’ yang disumbangkan oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Pemangku Naib Canselor UTP, Prof. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata pihaknya melakukan sedikit kelainan pada tahun ini dengan memberi baucer berbanding menyumbangkan keperluan peralatan sekolah kepada pelajar sekolah.
Katanya baucar buku ini dapat memanfaatkan pelajar untuk membeli bahan rujukan bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Selain itu, kami turut mengadakan kelas tuisyen secara percuma sepanjang tahun kepada mereka dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai persediaan menghadapi SPM tahun ini.
“Secara tidak langsung dengan menganjurkan kelas tuisyen ini, ia dapat meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini hari ini.
Mohamed Ibrahim berkata menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan UTP ini, kakitangan universiti secara sukarela menaja RM150 untuk setiap pelajar.
“Program ini adalah salah satu cara kakitangan universiti memupuk semangat berkongsi dengan masyarakat setempat dengan membantu pelajar sekolah,” katanya.
Beliau berkata sumbangan itu membabitkan 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tronoh dan 50 pelajar SMK Seri Iskandar.
Katanya program itu diperkenalkan pada 2007 dan telah membantu lebih 700 pelajar dari rumah anak yatim, rumah kebajikan serta sekolah di negeri ini. – BERNAMA