KUALA LUMPUR – Turkish Airlines menyambut tahun kelima beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan memberi perkhidmatan kepada 350 penumpang yang melakukan perjalanan ke Istanbul petang semalam.
Dalam kenyataan bersama, Turkish Airlines dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata semasa syarikat penerbangan itu memulakan penerbangan ke KLIA, ia menawarkan perkhidmatan tiga kali seminggu dan hampir setahun selepas itu, ia mula menawarkan penerbangan harian.
Pengurus Negara Turkish Airlines Muhammed Hamza Arslan berkata kebanyakan penumpangnya merupakan mereka yang mempunyai urusan perniagaan dan bercuti ke Malaysia, yang dilihat sebagai antara pintu masuk ke Asia.
“MAHB telah menjadi rakan kongsi yang baik dan kami berharap dapat menghubungkan orang ramai ke dan dari Kuala Lumpur untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata Turkish Airlines telah memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan laluan hubungan yang ditawarkan oleh KLIA dan pengendali lapangan terbang itu amat berbesar hati apabila ia memilih untuk mengekalkan Kuala Lumpur sebagai antara destinasi globalnya.
Beliau berkata susulan rangkaian destinasi global Turkish Airlines lebih besar daripada mana-mana syarikat penerbangan lain, ia akan memberi manfaat yang besar kepada penumpang dari Kuala Lumpur dari segi hubungan ke negara lain melalui Istanbul. – BERNAMA