KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia hari ini melancarkan aplikasi mudah alih ‘My Tourist Assist’ (MyTA) bagi memastikan perjalanan selamat bagi pelancong di negara ini.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab berkata aplikasi yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store itu dibangunkan syarikat teknologi digital Jana Tiga Holdings Sdn Bhd.
“Aplikasi ini membolehkan pelancong mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa sekiranya berada dalam situasi kecemasan yang mana aplikasi ini mempunyai butang kecemasan atau ‘butang SOS’ yang akan menghubungkan pengguna secara terus dengan pihak berkuasa.
“Apa yang lebih penting, aplikasi ini dapat berfungsi walaupun pengguna tidak mempunyai akses Internet dan sekiranya isyarat kecemasan dihantar, lokasi pengguna dapat dijejaki menerusi teknologi yang dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi ‘My Tourist Assist’ yang disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah. Turut hadir Pengerusi Jana Tiga Holdings Sdn Bhd Datuk Seri James Wong.
Pada majlis itu, Jana Tiga Holdings Sdn Bhd turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam menyalurkan berita untuk kemudahan pelancong asing ke negara ini menerusi aplikasi itu.
MoU tersebut ditandatangani James dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Wong berkata menerusi aplikasi itu, pelancong dapat mengakses berita dan segala maklumat yang disalurkan menerusi portal Bernama.
“Jika pelancong hendak mengetahui berita terkini mengenai luar dan dalam negara, mereka boleh menggunakan aplikasi dan berita yang disalurkan oleh Bernama,” katanya.
Menurut Wong, aplikasi itu mempunyai pelbagai fungsi lain termasuk perkhidmatan penting seperti hospital, farmasi, balai polis, mesin juruwang automatik (ATM) dan lokasi kedutaan asing. – BERNAMA