FILEM Avengers: Infinity War sememangnya merupakan filem yang paling ditunggu-tunggu peminat tegar Marvel Cinematic Universe (MCU) atau pun sesiapa sahaja yang mengikuti filem terbitan Marvel Studios.
Malah, filem terbaharu ini merupakan kisah yang hampir di penghujung rantaian filem di bawah MCU yang terdiri daripada 18 filem terdahulu sebelum sampai ke Avengers: Infinity War.
Oleh itu, orang ramai yang masih belum berkesempatan menyaksikan filem berkenaan merayu kepada mereka yang sudah menyaksikan filem berkenaan untuk tidak berkongsi plot filem tersebut kepada umum.
Baca: Netizen Rayu Jangan ‘Spoil’ Avengers: Infinity War!
Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul isu mengenai perkara tersebut apabila penyanyi, Ara Johari dikecam hebat kerana memuat naik sedikit babak di dalam filem berkenaan ke Insta Story miliknya.

Disebabkan perkara itu, netizen yang masih belum menyaksikan filem tersebut mengamuk dan mempersoalkan tindakan Ara yang dikatakan melanggar peraturan di dalam panggung wayang kerana merakam skrin walaupun hanya untuk tempoh masa yang pendek.
Malah, pihak Golden Screen Cinemas (GSC) sebelum itu juga meluahkan perasaan mereka di Insta Story yang nyata bersedih dengan tindakan orang ramai yang merakam sedikit babak daripada filem tersebut dan dimuat naik ke media sosial.

Mereka bertegas bahawa sebarang bentuk rakaman di dalam panggung wayang adalah dilarang sama sekali dan boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati bersalah.
GSC juga berkata bahawa tindakan tersebut boleh menyebabkan situasi yang lebih buruk boleh berlaku sekiranya perkara ini terus dilakukan orang ramai di mana pembikin filem mungkin tidak mahu menayangkan filem mereka di Malaysia.
Situasi menjadi lebih buruk dan menaikkan lagi kemarahan netizen adalah apabila Ara memuat naik status berbaur provokasi dengan mengatakan adalah haknya untuk melakukan perkara itu.

Malah, Ara juga meminta orang ramai untuk melangkau sahaja Insta Storynya itu sekiranya tidak mahu melihat apa yang dimuat naik. Ara juga menggesa mereka yang terkesan dari postingnya itu untuk segera menonton filem berkenaan di pawagam.

Tindakan itu telah menyebabkan netizen mula menyerang penyanyi yang lahir dari program realiti Akademi Fantasia 2016 itu bertubi-tubi namun Ara masih tetap dengan pendiriannya dan memuat naik status berbaur sindirian kepada mereka.
Penyanyai Ara Johari dgn angkuhnya tak mahu mengaku bersalah berkenaan posting dia dalam cinema via IG yg sememangnya illegal. Walhal beliau adalah pemain dlm industri seni ini. Jgn marahkan netizen kalau illegal download lagu Ara Johari tanpa membeli di saluran yg sah
— Cikgu (@Aweeff) April 27, 2018
Insta story kat wayang infinity war, ara johari cakap marketing. Marketing. Seriuslah marketing. Marvel. Kot. Bukan. Jus Almas Beauty. Bodoh.
— usop oppa (@TheUsopIbrahim) April 27, 2018

Bagaimanapun, Ara akhirnya tampil meminta maaf mengenai perkara itu melalui satu rakaman yang dimuat naik ke media sosialnya selepas mendapat teguran serta kecaman orang ramai mengenai perkara itu.
Memetik laporan mStar Online, Ara berkata dia berasa tertekan apabila dikecam teruk oleh netizen yang menggunakan kata-kata kesat terhadapnya yang menyebabkan dia sukar menerima teguran mereka pada mulanya.
“Memang tertekan juga sebab pertama kali kena kecam teruk macam ni. Saya tak dapat nak terima apabila ada menggunakan kata-kata kesat.
“Saya tak kisah kalau hendak tegur atau nasihat tetapi panggil saya anjing dan bodoh sehingga melibatkan karier seni saya itu keterlaluan.
“Tegurlah cara baik dan guna perkataan yang lebih sesuai,” katanya ketika dihubungi portal berkenaan.

Namun, Ara kini mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada sesiapa yang terkesan atas tindakannya itu.
Malah, Ara juga berkata bahawa dia akan lebih berhati-hati dalam memuat naik sesuatu perkara di laman sosial selepas ini agar kejadian sama tidak berulang lagi.
“Saya akui tindakan itu salah dan saya minta maaf kepada semua pihak terlibat. Saya tak sangka perkara ini boleh jadi isu besar.
“Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati nak muat naik sesuatu di media sosial,” jelas Ara. – MYNEWSHUB.CC.EZ
