SEREMBAN – Seramai 63 atlet Negeri Sembilan membantu negara muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos tahun lalu dengan menyumbang 16 pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa.
Malaysia mengutip 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa, diikuti Thailand dengan 72 emas, 86 perak dan 88 gangsa manakala Vietnam di tempat ketiga dengan 58 emas, 50 perak dan 60 gangsa.
Menurut laporan portal kerajaan negeri, ia menunjukkan jumlah atlet serta pencapaian bagi temasya dwitahunan itu tahun lepas meningkat berbanding 29 atlet menyumbang tiga emas, tujuh perak dan empat gangsa pada edisi 2015 di Singapura.
Pada edisi 2013 di Myanmar, seramai 22 atlet negeri mewakili negara dengan menyumbang tiga emas, dua perak dan enam gangsa manakala 16 atlet menghadiahkan 4/3/2 pada edisi 2011 di Indonesia dan 14 atlet merangkul 4/1/3 pada 2009 di Laos.
Selain itu, seramai lima atlet Negeri Sembilan menyertai Sukan Asia pada 2014 berbanding empat pada 2010 dan tiga pada 2006 manakala bagi Sukan Komanwel pula, seramai enam atlet menyertainya pada 2014, empat pada 2010 dan 2006. -BERNAMA