JELEBU – Sejumlah 2.1 juta anggota sukarelawan menyertai Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CDERT) sehingga Mac lepas, kata Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Azmy Yahya.
Beliau berkata angka berkenaan dijangka akan mencapai tiga juta penyertaan masyarakat menjelang hujung tahun ini.
“Kita yakin ia akan capai sasaran dengan penyertaan lebih ramai golongan muda. Di samping itu juga kita menyasarkan 10 peratus daripada populasi penduduk Malaysia adalah anggota CDERT seiring dengan misi satu keluarga satu sukarelawan.
Ini bagi membolehkan seorang daripada anggota keluarga mempunyai kemahiran dan ilmu dalam melindungi keluarga masing-masing daripada sebarang bencana alam atau kebakaran,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pasukan Tindakan Awal Kecemasan Komuniti (CDERT-C) dan Skuad Sukarelawan Bencana APM Parlimen Jelebu oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan Datuk Jalaluddin Alias, di sini.
Turut hadir Pengarah APM negeri Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim.
Terdahulu, pada majlis itu, Jalaluddin turut menyampaikan bantuan kewangan kepada tujuh keluarga di daerah itu yang terlibat dalam bencana banjir kilat pada 25 dan 26 Januari lepas.
“Bantuan ini adalah pendekatan yang diambil kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan dalam apa jua musibah yang berlaku demi menjaga kebajikan mereka,” katanya. – BERNAMA