KOTA KINABALU – Seorang lelaki rentung selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbakar di Kampung Tiong Tomis, Jalan Ranau-Tamparuli dekat sini hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata mangsa lelaki yang belum dikenal pasti identitinya maut akibat terperangkap di dalam kereta berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 pagi dan seramai empat anggota dari balai bomba Tuaran dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang rentung di dalam kereta berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak 60 kilometer dari balai bomba Tuaran, kami mendapati kenderaan itu musnah dijilat api 100 peratus,” kata agensi itu.
Menurut agensi itu mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 9.55 pagi. – BERNAMA
