DI SAAT ramai rakan selebriti sudah mendirikan rumah tangga, pelakon kecil molek, Ayda Jebat menegaskan bahawa dia mahu ‘melepaskan’ adik-adiknya terlebih dahulu sebelum memikirkan ke arah perkahwinan.
Bagi Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, jika bercakap soal rumah tangga, ia masih jauh lagi dan mungkin akan terjadi selepas dia menyelesaikan semua tanggungjawabnya terhadap adik-adiknya yang lain.
“Mungkin sejak berusia 12 tahun saya sudah biasa berusaha sendiri demi membantu keluarga. Ibu bapa saya berpisah, jadi saya tak mahu adik-adik saya susah,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Dalam masa sama, aktor drama bersiri Rindu Awak 200% itu juga merasai bahawa perjalanan hidupnya untuk berkeluarga seperti masih jauh lagi dan kemungkinan ia disebabkan dia sudah terbiasa melihat ahli keluarga yang lain mendahului dirinya dalam semua hal.
“Walaupun dua adik perempuan saya sekarang sudah bekerja, saya masih bagi wang belanja. Bukan sebab saya banyak duit, tapi kerana saya anggap mereka di bawah tanggungan saya.
“Salah seorang daripada mereka bakal bergelar isteri tidak lama lagi. Sebagai kakak, saya tak kisah membantu mana yang patut. Biarlah mereka ‘lepas’ dulu,” tambah pemenang kategori Lagu MeleTOP katika Anugerah MeleTOP Era tahun lalu.
Bagaimanapun, pelakon berusia 26 tahun itu berkemungkinan akan mendirikan rumah tangga selepas adik bongsunya tamat persekolahan.
Sebelum ini, Ayda dikatakan mempunyai hubungann isimewa bersama dengan pelakon Redza Rosli.
Hal ini kerana mereka sering dilihat bersama-sama serta ada juga desas desus mengatakan bahawa mereka berdua sedang menjalinkan hubungan cinta, tetapi status itu masih dirahsiakan oleh kedua-duanya.
Ayda dan Redza malah kebetulan sekali lagi ditemui ketika pertunjukan fesyen Ariani baru-baru ini.
Ketika ditanya oleh pihak media tentang kehadiran Redza, Ayda memberitahu bahawa secara kebetulan sahaja jejaka tinggi lampai itu mmepunyai masa lapang, jadi disebabkan itu dia meminta supaya Redza menemaninya ketika majlis tersebut.
“Tak bermakna kalau dia teman, kami sebagai sepasang kekasih. Saya sengaja ajak dia ke majlis ini sebab siapa tahu dapat mencari peluang berniaga atau sebagainya,” ujarnya lagi.
Kata orang, kaum perempuan ni apabila seseorang itu sudah berusaha keras dalam kerjaya, hatinya pasti sukar untuk dimiliki atau didekati oleh mana-mana jejaka.
Perkara itu turut dipersetujui oleh gadis kelahiran Bandar Raya Bersejarah itu.
“Sebenarnya dengan Redza pun tak berkongsi semua benda. Ada perkara yang saya simpan sendiri atau pengurus saja. Kalau nak berkawan, saya terbuka.
“Saya selesa berkawan dengan Redza sebab dia bukan jenis lelaki yang memeningkan kepala… Senang cakap dia pandai bawa diri,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain tentang kariernya, Ayda bakal muncul dengan drama bagi slot Akasia TV3 berjudul Cinta Bukan Kristal yang melihatkan gandingannya bersama dengan Fauziah Nawi, Sharnaaz Ahmad, Esma Daniel, Noniswara, Bella Nazari dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH