NEW DELHI – Saudi Aramco memperolehi 50 peratus kepentingan dalam kompleks penapisan dan petrokimia bernilai US$44 bilion India yang dirancang di Maharashtra, negeri sebelah barat negara itu.
Janji niaga tersebut sekali gus membolehkan pengeluar minyak terbesar dunia itu mendapat akses luas kepada pasaran India yang sangat menguntungkan.
Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid Al Falih berkata pada Rabu: “Sebesar mana pun projek itu, ia bukanlah satu-satunya faktor yang mempengaruhi hasrat kami untuk melabur di India. Aramco tidak akan berhenti daripada membincangkan peluang lain memandangkan kami melihat India sebagai destinasi utama bagi pelaburan dan bekalan tenaga kami”.
Syarikat penapisan India – Indian Oil Corporation, Hindustan Petroleum Corporation Ltd dan Bharat Petroleum Corporation – akan memiliki baki 50 peratus kepentingan dalam projek penapisan dan petrokimiaRatnagiri itu.
Aramco akan membekalkan separuh daripada minyak mentah untuk diproses di loji mega tersebut, yang akan mempunyai kapasiti tahunan 60 juta tan.
Ia kemudian mungkin menjual 50 peratus pegangan ekuitinya melalui penjualan saham kepada pelabur strategik lain.
“Saudi Aramco pada awalnya akan memegang 50 peratus, namun kami mempunyai pilihan untuk memperkenalkan rakan kongsi antarabangsa lain sekiranya ia perlu bagi kepentingan projek berkenaan. Terdapat sebuah syarikat antarabangsa yang telah menunjukkan minat dan kami sedia maklum malah akan memutuskannya dalam masa terdekat,” kata menteri Arab Saudi itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin H. Nasser berkata: “melabur di India merupakan bahagian penting strategi hiliran global syarikat kami, dan ia menjadi satu lagi pencapaian dalam hubungan kami dengan India yang semakin berkembang”.
India mempunyai kapasiti untuk memproses 247.6 juta tan minyak mentah kepada bahan api setahun dan merancang untuk meningkatkan kapasiti itu sebanyak 77 peratus kepada 438.65 juta tan menjelang 2030.
Arab Saudi ialah pembekal minyak kedua terbesar kepada India selepas Iraq, menurut angka pada tahun kewangan kepas.
Ia menyumbang 19 peratus kepada import minyak mentah India dan 29 peratus kepada import gas petroleum cecair.
Saudi Aramco membuka pejabat di India tahun lepas dengan tujuan mengembangkan perniagaan syarikat dalam pasaran eksport tenaga utamanya. – BERNAMA