KUCHING – Kerajaan Sarawak meluluskan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM46.3 bilion sepanjang lima tahun lepas, tidak termasuk cadangan projek keluli bernilai US$3 bilion (US$1 = RM3.88) dan projek metanol US$2 bilion, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata China – yang melabur dalam dua projek mega – adalah antara sumber utama FDI Sarawak, memandangkan negara itu ialah ekonomi kedua terbesar di dunia.
“Kerajaan akan meneruskan usaha menarik FDI termasuk dari China, dan pada masa sama, kerajaan juga akan giat membawa masuk pelaburan langsung domestik,” katanya semasa majlis perasmian kilang pengeluar panel solar milik Longi (Kuching) Sdn Bhd di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di sini, hari ini.
Perasmian itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Johari Openg.
Mengenai prestasi Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata, ia merekodkan eksport berjumlah RM3.2 bilion tahun lepas.
Angka itu adalah peningkatan daripada RM2.7 bilion pada 2016, dan ia dijangka mencecah RM4.5 bilion menjelang akhir tahun ini selepas Longi memulakan pengeluaran penuh, katanya.
Beliau berkata sejumlah produk dari taman teknologi tinggi itu boleh didapati menerusi jenama dunia seperti Apple, Samsung dan BMW.
Sebagai contoh, kira-kira 1,000 unit kapasitor seramik berbilang lapisan (MLCC) dipasang di dalam sebuah unit telefon pintar seperti iPhone dan Samsung Galaxy, katanya.
Bagi telefon pintar, 30 peratus MLCC adalah dibekalkan oleh Taiyo Yuden Group ke seluruh dunia, yang mengeluarkan MLCC dalam jumlah yang besar di taman teknologi tinggi tersebut.
Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya ditubuhkan pada 1990an.
Awang Tengah berkata pada awal pembukaan taman itu, terdapat sejumlah kecil syarikat seperti Toko Electronics (Mac 1992) dan Taiyo Yuden (Disember 1994) membuka operasi mereka di situ.
Beliau berkata, bagaimanapun, kini beberapa firma multinasional turut beroperasi di kawasan industri itu termasuk X-FAB, Western Digital (or HGST) dan kini Longi, penggiat industri panel mono-kristal terkemuka dunia.
“Kehadiran firma multinasional ini meletakkan Sarawak di atas peta dunia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Pelaburan asing ini telah mewujudkan 10,800 peluang pekerjaan di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya dan saya gembira mengatakan bahawa 99 peratus daripadanya diisi oleh rakyat tempatan dan hampir 10 peratus daripada mereka ialah jurutera,” katanya.
Beliau berkata, pelaburan terkumpul oleh syarikat yang beroperasi adalah melebihi RM12 bilion dan pembayaran gaji tahunan kepada tenaga kerja bagi taman industri itu sahaja adalah RM380 juta pada 2017.
“Ini sekali gus mewujudkan banyak kesan pengganda kepada ekonomi tempatan, dan Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya akan terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi seperti projek kerajangtembaga oleh IIjin Materials, Korea Selatan, yang diluluskan baru-baru ini,” katanya.
Awang Tengah berkata Iljin Materials akan melabur RM2.2 bilion kepada kemudahannya di taman teknologi itu untuk mengeluarkan kerajang tembaga bagi kegunaan bateri dalam telefon pintar dan kenderaan elektrik.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menambah baik Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya dengan melengkapkannya dengan lebih banyak kemudahan moden.
“Kita berharap dapat mentransformasikannya kepada taman perindustrian pintar, yang akan menjadi pemangkin industri ke arah Industri 4.0, seiring dengan usaha Ekonomi Digital Sarawak,” katanya.
Awang Tengah menggesa firma multinasional memberi keutamaan kepada penduduk tempatan dalam pengambilan tenaga kerja.
Longi mempunyai 2,130 kakitangan, termasuk 247 jurutera, dan 99 peratus daripada tenaga kerjanya di sini adalah penduduk Sarawak, termasuk ketua pegawai eksekutif Longi Kuching. – BERNAMA