BALING – Polis memberkas dua beradik yang menyamun seorang warga emas, Jumaat lepas di Kampung Tanjung, Mukim Kupang di sini.
Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shariffuddin Yusuf berkata, dua wanita terbabit yang berusia 32 dan 23 tahun itu di tahan di dua lokasi berasingan di sekitar Baling pada pagi semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua mereka telah merancang dan bertekad menyamun warga emas berusia 81 tahun itu kerana terdesak mahu membayar pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Sharifuddin berkata, suspek juga memberitahu rantai leher yang disamun telah dijual di sebuah kedai emas di Pekan Baling dengan harga RM6,000 dan wang tersebut digunakan untuk membayar pinjaman AIM dan perbelanjaan harian mereka.
Kedua wanita berkenaan direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) manakala warga emas itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Baling. – BERNAMA

