KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengekalkan kadar zakat fitrah RM7 seorang bagi negeri itu tahun ini, sama seperti pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor, berkata kadar tersebut ditetapkan berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam pada kadar timbangan satu gantang Nabawi bersamaan 2.6 kilogram (kg).
Kadar itu ditetapkan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, katanya dalam kenyataan kepada Bernama, di sini, hari ini.
Katanya, zakat fitrah itu hendaklah dibayar kepada amil-amil yang dilantik dan diberi tauliah oleh MAIPs bagi menjalankan tugas memungut fitrah di seluruh negeri ini.
“Sesiapa yang ingkar atau menghasut orang lain supaya tidak menunaikan kewajipan itu melalui amil-amil yang sah adalah melakukan kesalahan di bawah Peraturan Zakat dan Fitrah Negeri Perlis dan boleh didenda tidak melebihi RM100,” tambahnya. – BERNAMA

